Search

239 PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal

September 13, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 239 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk 12 kanak-kanak dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk dihantar pulang ke negara asal, semalam.

Semua PATI terbabit adalah tahanan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau yang dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program pemindahan tahanan itu adalah siri ke-14 untuk kategori usir melalui jalan laut bagi 2024.

Katanya, pemindahan berkenaan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu dan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau.

“Penghantaran pulang tahanan kali ini membabitkan 186 lelaki dan 41 wanita serta 12 kanak-kanak bersama Ibu bapa atau waris masing-masing.

“PATI berusia antara dua hingga 72 tahun itu dihantar pulang menggunakan perkhidmatan feri di sini, ke Terminal Tunon Taka, Nunukan di Indonesia.

“Mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen, selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Tawau semalam.

Mengulas lanjut, Siti Saleha berkata, hukuman dikenakan adalah berdasarkan proses perundangan negara, sehingga kepada tindakan pemindahan keluar ke negara asal.

Katanya, kekerapan program pemindahan Pati warganegara Indonesia yang dilaksanakan oleh JIM Sabah juga adalah tertakluk dengan kerjasama strategik daripada pihak Konsulat Republik Indonesia Tawau dalam mempercepatkan proses dokumentasi bagi tahanan.

“Program pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah.

“JIM Sabah komited melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemindahan Pati setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – Info X