Search

242 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

May 13, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seramai 242 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 12, melalui Pelabuhan Sandakan, kelmarin.

Semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Papar dan Tawau dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut.

Tahanan Depot Imigresen Papar dan Tawau dihantar ke Pelabuhan Sandakan menaiki bas ekspres. – Foto JIM

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua yang dipindahkan membabitkan seramai 225 lelaki dan 17 wanita.

“Pemindahan kali ini tidak membabitkan kanak-kanak bawah 12 tahun. Bagi tahanan dewasa purata usia adalah daripada 16 hingga 66 tahun.

“Semua tahanan dipindahkan melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1.

“Setakat tarikh 11 Mei 2023 seramai 3,989 tahanan dipindahkan ke negara asal membabitkan pengangkutan laut dan udara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semua tahanan dihantar pulang ke negara asal menggunakan feri MV Antonia 1 melalui Pelabuhan Sandakan. – Foto JIM

Sitti Saleha berkata, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Tahanan warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal. – Foto JIM

Menurutnya, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.

“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – Info X