Search

Pemilihan SAFA tidak ikut perlembagaan, tapi terpulang kepada Pesuruhjaya Sukan – Juil

May 13, 2023

admin



KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Juil Nuatim, hari ini, menegaskan, perjalanan pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) persatuan itu yang berlangsung, di sini, hari ini, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Katanya, AMT sebelum ini tidak pernah dipanggil untuk bermesyuarat bagi membincangkan mengenai kongres dan pemilihan kepimpinan baharu termasuk dari segi kelayakan individu yang ingin bertanding.

Beliau berkata, perkara berkenaan telah ‘diatur’ sendiri oleh pemangku presiden sebelum ini selepas mendakwa semua pemegang jawatan AMT sebelum ini sudah tidak sah selepas tempoh penggal tamat pada 31 Mac lalu.

“Ini tidak betul, selepas tempoh penggal tamat, selagi belum diadakan pemilihan kepimpinan baharu, semua jawatan yang disandang sebelum ini masih berperanan sebagai ‘caretaker’ dan sudah pasti mesyuarat bagi membincangkan pemilihan kepimpinan baharu perlu diadakan.

“Kita harus bincang bagaimana perjalan kongres nanti, siapa yang bertanding, kelayakan mereka yang bertanding, laporan setiausaha, laporan bendahari…semua ini harus dibuat.

“Saya bukanlah mahukan jawatan (dalam SAFA), saya sudah lama dalam kepimpinan bola sepak negeri, tapi ini bukan persatuan kampung…persatuan kampung pun ikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadirannya dalam kongres dan pemilihan SAFA yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Pada pemilihan itu, Shahelmey dipilih sebagai presiden SAFA yang baharu manakala Ahli Parlimen Khairul Firdaus Akbar Khan dan Pengarah UPPM Negeri, Datuk Awang Kadin Tang masing-masing sebagai Timbalan 1 dan 2 SAFA.

Sementara itu, empat naib presiden yang dipilih ialah Alijus Sipil, Datuk Fairuz Renddan, Datuk Rudy Awah dan Rafie Robert.

Dalam pada itu, Juil berkata, beliau sebenarnya menyokong penuh Shahelmey sebagai presiden SAFA yang baharu dan semua yang bertanding dalam pemilihan kali ini, namun AMT harus mengaturnya dengan sempurna bukan seperti cara ‘koboi’.

“Ya kita sokong, cuma apa yang kami mahu hanyalah supaya perlembagaan ditegakkan dan dihormati…siapa pun bertanding jika mereka layak kami tiada bantahan, tapi ikut perlembagaan lah.

“SAFA adalah pemilik penuh Sabah FC, duit yang kita cerita dalam persatuan bukan dua tiga ribu, tapi jutaan ringgit, jadi kita mesti profesional dalam menjaga persatuan ini, bukan macam cara ‘koboi’ suka hati buat apa saja…duit yang masuk dan keluar dalam persatuan pun tidak pernah dibawa ke mesyuarat eksekutif,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada pihak berkaitan termasuk Pesuruhjaya Sukan untuk menentukan sama ada pemilihan yang diadakan sah atau tidak.

“Bantahan telah dibuat sebelum ini, terpulanglah kepada Pesuruhjaya Sukan untuk tentukan, saya tidak kisah,” katanya lagi. – Info X