KOTA KINABALU: Anggota polis yang kakinya putus selepas dirempuh kenderaan jenis Jeep pada 15 April lalu menerima sumbangan kaki palsu daripada pendakwah terkenal Ebit Lew.
Menerusi hantaran gambar yang dikongsi oleh Lew di Facebook semalam, beliau menyatakan rasa simpatinya terhadap nasib yang menimpa Koperal Wilfred Wenceslaus.

“Sebak rasa tadi ziarah Koperal Wilfred Wenceslaus anggota PDRM kaki kanan putus dilanggar pemandu yang disyaki mabuk membuat pusingan U secara haram.
“Ziarah di Hospital Queen Elizabeth 1 Kota Kinabalu. Menangis beliau yang masih perlu menyara 4 orang anak masih kecil.
“Berat ujiannya. Kami akan menanggung kos kaki palsu untuknya. Begitulah berat ujian hidup setiap orang, semoga koperal Wilfred cepat sembuh dan diberi kesabaran dalam melalui semuanya,” katanya.

Terdahulu dalam kejadian pada 15 April lalu, Wilfred yang juga anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) putus kaki kanan apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Lintas, berhadapan City Mall, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 35 tahun yang bertugas di bahagian URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, menurut saksi kejadian, pemandu kenderaan jenis Jeep dikatakan dilihat membuat pusingan U di tempat yang salah.
Katanya, saksi kejadian telah membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu namun kenderaan itu telah masuk ke laluan sebelah.
“Mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kolombong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kenderaan Jeep berkenaan.
“Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena pada besi hadapan kenderaan berkenaan,” katanya. – Info X