KOTA KINABALU: Mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah di utara Sabah meningkat kepada 2,479 orang setakat awal pagi Sabtu.
Jumlah itu membabitkan 1,185 keluarga di 15 PPS yang dibuka di Kota Marudu, Pitas dan Paitan selepas bencana banjir diisytihar di ketiga-tiga daerah, semalam.
Berdasarkan Perkembangan Harian Bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah pada jam 4 pagi tadi, daerah Pitas merekodkan jumlah mangsa di PPS yang tertinggi seramai 1,515 orang daripada 593 keluarga, setakat ini.
Jumlah itu merangkumi mangsa yang berlindung di lapan PPS iaitu PPS Dewan Majlis Daerah Pitas (573 orang), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II (303 mangsa), PPS SK Dandun (155 mangsa), PPS SK Salimpodon Darat (145 orang), PPS Dewan Kusilad (129 orang), PPS SK Rukom Ulu (78 orang) dan PPS Dewan Kebatasan (63 orang) dan PPS Dewan Kampung Senaja (22 orang).
Sementara itu, di Kota Marudu, seramai 884 mangsa banjir daripada 562 keluarga berlindung di dua PPS di daerah itu iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek (594 orang) dan PPS SMK Tandek II (290 orang).
Daerah Paitan pula hanya mencatat 80 mangsa banjir daripada 30 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu PPS Dewan Binsulung (62 orang), PPS Rumah Pengerusi JKKK Kampung Cocos (11 orang), PPS Masjid Kaindangan (lima) dan PPS Dewan Kampung Sungai-Sungai (dua). – Info X