Search

26 PATI ditahan dalam tiga operasi Imigresen di Kunak dan Lahad Datu

October 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) menyembunyikan diri di kawasan penempatan awam dan premis perniagaan tidak menjadi apabila 26 warga Filipina ditahan dalam tiga siri operasi Imigresen di dua daerah berasingan, minggu lalu.

Operasi berkenaan iaitu Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Kutip dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lahad Datu pada 14 dan 15 Oktober lalu bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah pada Sabtu, operasi pertama iaitu Ops Selera dilaksanakan pada 14 Oktober di sebuah premis perniagaan di Kunak yang membawa kepada pemeriksaan terhadap 11 individu pelbagai warganegara.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Filipina gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah sebelum ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

“Keesokannya, pasukan penguat kuasa menggempur beberapa kawasan penempatan di daerah sama menerusi Ops Sapu yang bermula tengah malam hingga awal pagi.

“Pemeriksaan terhadap 93 individu mendapati 11 warga Filipina iaitu tujuh lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki tidak memiliki sebarang dokumen sah,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, siri operasi turut diperluas ke Lahad Datu pada hari sama menerusi Ops Sapu dan Ops Kutip dengan pemeriksaan ke atas 55 individu pelbagai warganegara.

“Hasilnya, 14 warga Filipina termasuk sembilan lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.

“Secara keseluruhan, tiga operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 159 individu dan membawa kepada penahanan 26 PATI, semuanya warga Filipina,” katanya.

Sementara itu, jelasnya operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan Sabah bebas daripada kehadiran PATI dan menjamin keselamatan masyarakat setempat.

“Orang awam turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan atau aktiviti PATI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia termasuk talian aduan dan platform dalam talian yang disediakan,” katanya. – Info X