Search

PRN17: Pembangkang hanya tabur janji politik, retorik – Hajiji

October 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin rakyat bijak menilai siapa yang mampu mentadbir Sabah dengan baik dan pihak mana yang hanya menabur janji politik dan retorik pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17).

Beliau berkata dengan kemajuan teknologi digital dan telekomunikasi, pelbagai dakyah dan fitnah kini mudah disebar melalui media sosial yang menjadikan kempen pilihan raya lebih mencabar.

Jelasnya, situasi itu perlu ditangani dengan sebaik mungkin oleh jentera GRS bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat mengenai setiap isu yang dibangkitkan pihak lawan bagi menangkis sebarang dakyah dan fitnah.

“Rakyat semakin bijak menilai siapa yang mampu mentadbir Sabah dengan baik dan siapa yang hanya menabur janji politik dan retorik. Berhentilah menjaja ubat yang mengkhayalkan rakyat, jangan seperti dukun politik, banyak jampi, tapi tiada sembuhnya.

“Pembangkang tidak pernah berhenti menabur fitnah dan mencipta pelbagai naratif palsu dan menjadikan media sosial sebagai senjata utama kononnya GRS gagal mentadbir, ini tidak boleh kita biarkan.

“Kita mesti serang balik dengan kebenaran dan fakta. Oleh itu saya menyeru jentera parti di semua peringkat hingga ke akar umbi supaya memainkan peranan aktif sama ada melalui media sosial atau bersemuka.

“Kita perlu menjadi penyampai maklumat yang tepat untuk menangkis tohmahan dan fitnah pihak lawan, jangan biarkan Sabah kembali ke tangan mereka yang gagal mentadbir, sebaliknya hanya berpolitik atas dasar dendam dan kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Hajiji berkata pilihan raya kali ini bukan hanya persaingan di lapangan, tetapi juga di alam maya berikutan kepesatan penggunaan media sosial untuk membentuk persepsi rakyat.

Sehubungan itu, katanya kejayaan GRS juga bergantung kepada sejauh mana jentera gabungan itu menguasai media sosial sebagai alat komunikasi bagi menghalang propaganda pembangkang.

Hajiji berkata, hanya dengan perjuangan GRS dan kerjasama erat parti komponennya mampu membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Sabah.

“Kita kini di ambang pilihan raya, pertarungan kali ini bukan setakat mendapatkan mandat rakyat atau untuk menjadi kerajaan, sebaliinya ini soal masa depan Sabah.

“Kemenangan GRS memberi kita suara yang lebih besar dalam usaha kita membangunkan Sabah. Kita akan mempunyai kedudukan yang lebih teguh dalam menuntut dan mempertahan hak Sabah.

“Jika kita gagal maka kita mensia-siakan peluang keemasan untuk meletakkan kuasa politik tempatan dan segala dasar yang baik akan berubah serta dibatal sebagaimana yang berlaku sebelum ini. Mangsanya adalah rakyat dan yang rugi adalah negeri Sabah.

“Oleh itu, semua jentera, penyokong dan pejuang GRS perlu bekerja keras, jangan ada yang leka dan rasa cukup dengan apa yang kita capai, kita semua adalah barisan hadapan GRS,” katanya. – Info X