Search

PRN17: ‘InsyaAllah GRS akan kembali berkuasa’ – Ketua Menteri

October 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sekali lagu menyatakan keyakinan terhadap kekuatan dan kemampuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mendapat mandat baharu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17).

Hajiji yakin dengan kerjasama enam parti komponen yang kekal bersama gabungan itu sehingga kini, pihak lawan tidak akan mampu menandingi kekuatan GRS selaku gabungan parti tempatan terbesar di Sabah.

Katanya, beliau menghargai pendirian pemimpin parti komponen yang terus kekal mengukuhkan GRS setelah dua parti yang sama-sama mengasaskan gabungan itu keluar untuk membawa haluan sendiri pada PRN17.

“Dengan semangat padu dan kesatuan kukuh kita, tiada kekuatan lawan yang mampu menggugat kekuatan kita. Saya berterima kasih dan menyatakan penghragaan setingginya kepada semua rakan parti komponen yang kekal bersama dalam perjuangan ini meskipun berbeza latar belakang perjuangan.

“Tidak akan ada pihak lain mampu menggugat kekuatan kita , insyaAllah GRS akan mendapat mandat baharu pada pilihan raya kali ini.

“Dalam perjuangan politik, kita tahu akan ada pihak memilih jalan berbeza dan meninggalkan perjuangan ini, namun yang penting kekuatan kita tetap utuh kerana ada yang tetap teguh dan setia bersama GRS. Kesetian ini bukan kecil nilainya, ia dibina atas asas kesetiaan.

“Saya yakin dengan semangat setiakawan ini kita bukan saja mampu bertahan tapi kita mampu mengeratkan lagi perpaduan dan mengekalkan kestabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Majlis itu dihadiri semua pemimpin utama keenam-enam parti komponen GRS dengan kehadiran jentera dan penyokong dianggarkan kira-kira 20,00O orang.

Enam parti yang kekal bersama GRS sehingga kini ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Hajiji berkata kebersamaan dalam GRS adalah cerminan kekuatan parti tempatan Sabah yang harus dipertahan dan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Tiada lagi gabungan sebesar GRS yang menyatupadukan parti lokal dan memperjuangkan hak kita orang Sabah sebagai rakan kongsi dalam Malaysia.

“Itu sebabnya kita pastikan GRS menang pada pilihan raya nanti, kita rapatkan saf perjuangan, kukuhkan perjuangan GRS, insyaAllah GRS akan kembali berkuasa,” katanya. – Info X