TAWAU: Sebanyak 26 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, pagi tadi, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan lebih 1,300 kediaman berhampiran daripada turut terbakar.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, semua penghuni rumah terbabit sempat menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, pada jam 9.37 pagi.
Katanya, sepasukan 39 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh lapan kilometer.
“Sebaik tiba pada jam 9.48 pagi, komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan 25 rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal yang musnah terbakar 100 peratus.
“Kawasan terjejas dianggarkan seluas lebih 1,000 meter persegi dengan pelbagai saiz rumah. Sebuah motosikal turut terbakar dalam insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan tiga aliran, tiga pancutan menggunakan pam angkut dengan sumber air dari jentera serta air laut.
“Pasukan bomba menggunakan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ untuk memadam kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.
“Hasilnya, sebanyak 1,300 rumah berjaya diselamatkan,” katanya.
Tambahnya, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dan semua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri.
“Operasi dikawal pada jam 10.14 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 11.45 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi,” katanya sambil menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.
Operasi pemadaman turut dibantu Bomba Komuniti, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity. – Info X