Search

Akibat lilin, 18 hilang tempat tinggal

August 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 18 orang daripada empat keluarga di Kampung Padas, Manggatal, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Timbalan Penguasa Bomba II, Agustavia Joe Guasi berkata, sepasukan 22 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 8.45 pagi.

“Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan empat rumah jenis tidak kekal itu.

“Operasi pemadaman satu aliran, dua pancutan menggunakan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ untuk memadam kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Padas, Manggatal, Kota Kinabalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari api lilin yang dipasang selepas kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik.

“Bagaimanapun siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran.

“Operasi terkawal pada jam 9.35 pagi dan operasi ditamatkan 11.18 pagi sebaik kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Difahamkan, semua mangsa kini menumpang di rumah saudara yang berdekatan. – Info X