Search

260 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

July 15, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seramai 260 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, hari ini.

Kesemua mereka dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan sebelum berlepas melalui Pelabuhan Lahad Datu menuju Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.

Daripada jumlah itu, seramai 167 adalah lelaki dewasa, 40 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan berusia antara lima hari hingga 68 tahun. Kanak-kanak yang terbabit turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.

JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua tahanan yang dihantar pulang sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan (Travel Documents) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal.

Menurut kenyataan itu, sebelum ini pada 14 Julai lalu, JIM Sabah turut menghantar pulang lima lelaki warga China dari Depot Imigresen Papar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan penerbangan terus ke Guangzhou.

“Pada 10 Julai lalu pula, lima lelaki warga Pakistan dari Depot Imigresen Tawau dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Tawau dengan iring kawal pegawai sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lahore, Pakistan.

“Sehingga hari ini, seramai 4,275 tahanan PATI berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing, membabitkan 2,838 warga Filipina, 1,207 warga Indonesia, 105 warga Pakistan dan 89 warga China,” katanya.

JIM Sabah turut menyeru orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi jabatan bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini. – Info X