BEAUFORT: Polis sedang menyiasat penemuan mayat seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun di kawasan parkir bawah sebuah bangunan di Cerah Commercial Centre, di sini, malam tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Beaufort.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, sejurus menerima maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pihaknya turut merakam percakapan ahli keluarga mangsa selain menjalankan pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Beaufort atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – Info X