KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah berjaya menahan 162 individu termasuk 27 orang dikehendaki sepanjang operasi selama 17 hari yang berakhir 30 April lalu.
Operasi dimulakan menerusi Op Mega Lusuh/Kesan sebelum diteruskan dengan Op Pintu/Kesan selama 17 hari yang dilaksanakan di seluruh negeri.
Ia adalah sebahagian usaha membendung jenayah pecah rumah dan kes curi selain mengesan orang yang dikehendaki polis serta jenayah membeli barang lusuh.
Ketua JSJ Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 155 serbuan dilaksanakan dan premis diperiksa.
“Sepanjang operasi, seramai 135 suspek ditahan atas pelbagai kesalahan selain 27 orang dikehendaki polis berjaya diberkas.
“Bagi Op Pintu/Kesan Mega, pelbagai barangan bernilai RM171,262.40 berjaya dirampas yang membabitkan sebanyak 45 kes pecah rumah dan lain-lain kesalahan berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi kedua atau Op Mega Lusuh/Kesan seterusnya dilaksanakan bagi membendung kes jenayah seperti kecurian kabel dan lain-lain kes curi dengan melibatkan semua elemen dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sabah.
“Operasi dilaksanakan dengan kolaborasi bersama lain-lain agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Sabah Electricity dan syarikat telekomunikasi.
“Sepanjang operasi itu, pelbagai kejayaan dicapai dengan tangkapan seramai 76 orang atas pelbagai kesalahan dan 19 orang dikehendaki polis berjaya diberkas.
“Pelbagai barangan bernilai RM455,874 berjaya dirampas selain tindakan terhadap premis membeli barangan lusuh tanpa lesen dan atas kesalahan membeli barangan curi. Tiga premis membeli barang luruh turut dicadangkan untuk dibatalkan lesen,” katanya.
Sehubungan itu, Azmi berkata, pihak JSJ Kontinjen Sabah akan meneruskan operasi berkenaan dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi membendung jenayah selia meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap Polis Kontinjen Sabah. – Info X