Search

Keputusan kerjasama dengan mana-mana gabungan tidak dipengaruhi pusat – UMNO Sabah

May 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Suhaimi Nasir berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mempunyai ruang menentukan rakan politik, dengan berpandu pada kuasa autonomi.

Katanya, sebarang keputusan berkait kerjasama dengan mana-mana gabungan pada PRN tidak pernah dipengaruhi mana-mana pihak termasuk dari pusat.

“Apa pun keputusan UMNO Sabah, tiada pula yang cuba menyangkal di peringkat pusat, sampai hari ini belum ada gangguan apa-apa.

Kuasa autonomi memutuskan Sabah yang menentukan segalanya,” katanya pada sidang media seperti dilaporkan FMT.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran menjelaskan bahawa pusat berperanan sebagai penasihat kepada pimpinan negeri dalam beberapa isu berbangkit.

Beliau merujuk saranan pusat supaya kerjasama di Sabah selari dengan peringkat persekutuan bagi mengelakkan ketidaktentuan politik.

“Mereka nasihati, kuncinya adalah BN-Pakatan Harapan supaya ada persefahaman di negeri dan pusat.

“Kita tak mahulah sewaktu berkempen nanti, timbalan perdana menteri (Presiden Umno Zahid Hamidi) kempen sebelah sini, perdana menteri (pengerusi PH Anwar Ibrahim) kempen sebelah sana,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, UMNO Sabah melihat terdapat keperluan mendesak untuk mana-mana gabungan yang mahu bekerjasama dengan BN menandatangani suatu perjanjian kerjasama bagi mengelakkan ‘episod tikam belakang’ berulang.

“Jadi untuk PRN17 ini, antara rakan gabungan mesti ada persefahaman termasuk apakah ‘wishlist’ setiap parti.

“Lebih baik kita jalan berdepan dengan musuh di depan daripada kita berjalan bersama tetapi ada musuh dari belakang,” katanya.

Menurutnya lagi, usaha itu juga bagi mengelakkan ‘lompat parti’ yang menurutnya sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan ahli politik di Sabah. – Info X