Search

27 Jun sebutan semula kes bunuh pelajar kolej

May 16, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes 13 pelajar lelaki yang dituduh membunuh seorang pelajar lain pada Mac lalu.

Semua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh mangsa berusia 17 tahun itu di sebuah kolej di daerah ini, kira-kira jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani itu dijalankan secara tertutup kerana kes membabitkan pesalah di bawah umur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao manakala tujuh daripada 13 tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye dan Amirul Amin Rashid.

Seorang lagi tertuduh diwakili peguam Abdul Gani Zelika, manakala lima tertuduh lain tidak diwakili peguam. – Info X