KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan sama ada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dibenar meneruskan semakan kehakiman berhubung hak 40 peratus hasil Sabah pada prosiding yang berlangsung hari ini.
Mahkamah bagaimanapun belum menetapkan tarikh untuk mendengar keputusan berhubung rayuan yang dikemukakan oleh Peguam Negara itu, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 24 Mei ini.
Prosiding hari ini berlangsung di hadapan tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ravinthran N Paramaguru, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing.
Mereka mendengar rayuan Peguam Negara yang mewakili kerajaan persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 November 2022 yang membenarkan semakan kehakiman difailkan SLS terhadap kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah berkaitan hak 40 peratus hasil dituntut Sabah.
Prosiding hari ini adalah di antara kerajaan persekutuan dengan SLS, namun kerajaan Sabah yang diwakili peguam Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad memohon sebagai pencelah.
Kerajaan persekutuan diwakili Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan dan SFC Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi serta Peguam Persekutuan (FC) Krishna Priya Veenagopal @ Venugopal dan FC Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.
Pihak SLS pula diwakili peguam Dr David Fung, Jeyan TM Marimuttu dan Janice Junie Lim.
Pada Jun 2022, SLS memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman pada dengan menamakan kerajaan persekutuan dan Sabah, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonannya, SLS antara lain mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa kegagalan responden pertama untuk membuat semakan kedua pada 1974 dengan responden kedua telah melanggar dan bertentangan dengan perlembagaan di bawah Perkara 112D (1),(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan.
SLS juga mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa kelayakan 40 peratus hak Sabah yang dituntut kerajaan negeri masih kekal dan mesti dibayar responden pertama (kerajaan persekutuan) bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Selain itu, SLS turut menuntut pengisytiharan bahawa kegagalan membayar hak 40 peratus itu kepada Sabah sepanjang tempoh berkenaan sebagai melanggar hak asasi rakyat dan negeri Sabah seperti terkandung dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Prosiding hari ini menarik perhatian ramai, khususnya pemimpin parti politik tempatan yang hadir bersama pengikut masing-masing dan berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sejak awal pagi. – Info X