TAWAU: Seramai 28 warga asing yang terbabit dalam sindiket penipuan ‘love scam’ dan pelaburan dalam talian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan pengusiran selepas dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Tawau, Khamis lalu.
Semua suspek terdiri daripada 26 lelaki warga China, seorang wanita warga China dan seorang wanita warga Vietnam yang ditahan dalam operasi khas polis pada 6 Mei lalu sebelum didakwa di mahkamah pada 14 Mei 2026.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sindiket berkenaan menjalankan kegiatan penipuan atas talian dengan menyasarkan mangsa dari Korea melalui platform komunikasi digital.
Katanya, sindiket itu memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang menerusi pelbagai taktik penipuan yang dikendalikan dari pusat operasi mereka di daerah ini.

“Semua suspek didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Mahkamah Majistret Tawau.
“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang dan sekiranya gagal membayar denda boleh dipenjara antara dua hingga empat bulan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek sudah menjelaskan bayaran denda dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM140,000.
Jasmin berkata, semua warga asing terbabit diserahkan kepada JIM semalam untuk tindakan lanjut termasuk proses pengusiran ke negara asal masing-masing.
“Tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras kegiatan penipuan atas talian yang semakin aktif dan memberi ancaman kepada masyarakat termasuk membabitkan sindiket warga asing,” katanya. – Info X