SEMPORNA: Sebuah kedai berhampiran stesen minyak di Batu ¼ Jalan Bubul, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu.
Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 5 pagi itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 5.06 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Semporna bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.08 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kedai jenis kekal berukuran 30×50 kaki persegi.
“Kebakaran mengakibatkan premis berkenaan terbakar 95 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu tujuh anggota dari BBP Atas Air Semporna menggunakan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT).
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.
“Api berjaya dikawal pada jam 6.04 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.19 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X