Search

Pindaan jumlah bahagian Gagasan Rakyat langkah strategik perkukuh parti – Nizam

May 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meminda perlembagaannya bagi melaksanakan penstrukturan parti daripada 74 bahagian sekarang kepada hanya 26 bahagian pada Persidangan Agung Khas parti itu, di sini, esok.

Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata beliau menyambut baik langkah untuk membawa pindaan berkaitan penstrukturan jumlah bahagian parti itu yang dijelaskan dalam agenda persidangan khas mengikut Fasal 16.1.

Pindaan itu, katanya adalah satu langkah strategik dan berpandangan jauh bagi memastikan struktur parti lebih kemas, tersusun serta berkesan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

“Penstrukturan daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian bukan sekadar perubahan angka. Ia adalah usaha memperkukuh gerak kerja parti supaya lebih fokus, lebih mudah diselaraskan dan lebih berupaya digerakkan secara menyeluruh di peringkat akar umbi.

“Saya percaya, struktur yang lebih tersusun akan membantu mengurangkan pertindihan gerak kerja, mempercepat penyampaian arahan serta memastikan tenaga dan sumber parti dapat digunakan dengan lebih cekap.

“Melihat keadaan politik hari ini yang semakin mencabar, parti memerlukan organisasi yang bukan saja besar dari segi sokongan tetapi juga kuat dari segi disiplin, penyelarasan dan keberkesanan jentera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pindaan itu juga wajar dilihat sebagai langkah untuk memperkukuh perpaduan dalaman Gagasan Rakyat.

Jelasnya, apabila gerak kerja disusun mengikut struktur yang lebih kemas, pemimpin dan jentera di setiap kawasan dapat bergerak sebagai satu pasukan, bukan secara terpisah-pisah.

“Saya ingin menegaskan bahawa penstrukturan ini tidak harus dilihat sebagai pengurangan peranan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia adalah penyusunan semula kekuatan agar Gagasan Rakyat terus menjadi parti tempatan Sabah yang lebih mantap, responsif dan dekat dengan rakyat.

“Sebagai Ketua Penerangan, saya melihat kekuatan Gagasan Rakyat sebagai sangat penting kepada kestabilan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerajaan negeri.

“Gagasan Rakyat yang tersusun dan kukuh akan turut memperkukuh GRS sebagai gabungan politik tempatan yang menjadi tunjang kepada kestabilan Sabah.

“Saya juga percaya bahawa langkah ini mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyar dan Pengerusi GRS dalam melakukan penyesuaian yang perlu demi masa depan parti,” katanya.

Beliau menegaskan, apa yang penting ialah semua pihak perlu melihat pindaan itu dengan jiwa besar.

“Ia bukan soal mengecilkan ruang, tetapi soal menyusun semula kekuatan. Ia bukan soal mengurangkan peranan, tetapi soal memperkukuh gerak kerja.

“Saya yakin penstrukturan ini akan menjadikan Gagasan Rakyat lebih bersedia, lebih tersusun dan lebih kukuh dalam meneruskan perjuangan membela rakyat serta mempertahankan kepentingan Sabah,” katanya. – Info X