Search

283 pegawai, anggota JSPT Sabah ditugaskan sempena perayaan Aidilfitri

April 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dalam usaha memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di Sabah, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengerahkan seramai 283 pegawai dan anggotanya untuk bertugas sepanjang Op Selamat ke-22 sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

Penugasan selama enam hari itu membabitkan 31 pegawai dan 252 anggota JSPT Kontinjen Sabah yang bermula pada 8 sehingga 13 April depan.

Pengarah JSPT, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya akan terus berada di lapangan bagi membantu melancarkan serta memudahkan aliran trafik bersesuaian dengan tanda pagar kehadiran trafik dirasai.

“Sepanjang Op Selamat pada musim perayaan ini, JSPT juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) seiring tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’.

“Usaha ini bagi memastikan keadaan rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat serta memastikan perjalanan ke destinasi ditujui lancar dengan kehadiran pihak JSPT di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa JSPT Kontinjen Sabah di Pondok Polis Warisan Square, di sini, semalam.

Datuk Mohd Azman mengagihkan bubur lambuk kepada anggota yang bertugas di lapangan di Kota Kinabalu.

Pada program berkenaan, Mohd Azman turut mengedarkan bubur lambuk kepada pegawai serta anggotanya yang bertugas di lapangan.

Sementara itu, mengenai perbandingan statistik kemalangan jalan raya bagi tempoh Januari sehingga Mac untuk dua tahun bermula 2023, Mohd Azman berkata, kadar kemalangan direkod meningkat sebanyak 90.2 peratus iaitu 4,686 kemalangan pada 2023 berbanding 5,161 tahun ini.

Katanya, kadar kemalangan maut turut meningkat bagi tempoh sama iaitu 67 kes pada tahun lalu berbanding 70 kes tahun ini.

“Oleh itu, saya harapkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang tempoh perayaan dapat dikurangkan melalui penugasan JSPT Kontinjen Sabah di lapangan serta kerjasama daripada pengguna jalan raya lain.

“Saya nasihatkan agar pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan serta arahan yang diberikan kepada pegawai JSPT di lapangan.

“Rancang perjalankan sebelum melakukan perjalankan balik ke kampung dan sentiasa mengawal emosi semasa berdepan tekanan atau kesesakan lalu lintas, InshaAllah PDRM sentiasa berada di lapangan untuk memberikan bantuan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Azman berkata, sejumlah 90 pegawai serta anggota JSPT Kontinjen Sabah bertugas di lapangan sempena Op Lancar Ramadan sepanjang bulan puasa bagi melancarkan aliran trafik di kawasan panas atau hotspot.

Katanya, operasi ini akan diteruskan sepanjang Ramadan sebelum beralih kepada Op Selamat Aidilfitri. – Info X