KOTA KINABALU: Sebanyak 7.4 tan lambakan sampah hanyut dikumpul dari perairan sekitar pusat bandar raya ini menerusi aktiviti pembersihan yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sepanjang Mac lalu.
Jumlah itu berikutan lambakan sampah yang banyak terapung di laut, terutama di kawasan jeti Jesselton Point dan Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, dipercayai berpunca daripada tiupan angin yang menyebabkan sampah hanyut ke arah perairan bandar raya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan DBKK, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melaksanakan kerja pembersihan sejurus menyedari lambakan sampah yang banyak terapung dua lokasi terbabit.
“Bertindak ke atas kejadian itu, DBKK melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) dengan segera melaksanakan kerja pembersihan menggunakan bot dan pengaut sampah di kedua-dua lokasi terjejas.
“Sejumlah 7.5 tan kutipan sampah telah direkod dalam beberapa siri kerja pembersihan yang dilaksanakan oleh DBKK pada Mac 2024, terutama di kawasan jeti Jesselton Point,” katanya.

DBKK dalam kenyataannya berkata, berdasarkan pemerhatian dan pemantauan pihaknya, pencemaran sampah laut, sungai atau yang terdampar di pesisiran pantai sekitar bandar raya ini kebanyakannya berpunca dari perkampungan atau tepi sungai.
Jelasnya, sebagai langkah jangka pendek, DBKK akan memasang perangkap sampah di kawasan perkampungan atas air yang kritikal seperti di sekitar Kampung Numbak dan setinggan Saga.
Katanya, DBKK juga akan mengenal pasti bot pembersihan yang sesuai dalam menjalankan operasi pembersihan sampah di kawasan perairan.
“Kerja pemantauan dan pembersihan laut turut diteruskan di kawasan tepi sungai dan pantai di Kota Kinabalu oleh Unit Pembersihan Laut dan Sungai di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) DBKK dengan kerjasama syarikat konsesi yang dilantik.
“Tumpuan pembersihan termasuk di muara sungai Sembulan, pesisiran Anjung Senja, perangkap sampah berhadapan pusat beli-belah IMAGO, jeti Taman-Taman Sabah, Teluk Likas dan lain-lain.
“Kerja-kerja pembersihan ini dilaksanakan mengikut jadual pembersihan yang ditetapkan. DBKK menasihatkan kepada masyarakat awam agar tidak sesuka hati membuang sampah ke sungai, laut dan pantai sehingga menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.
“Isu pencemaran laut, sungai dan pantai adalah isu yang semakin kritikal dan wajib ditangani secara bersepadu dengan kerjasama agensi bertindak, termasuk kerjasama dan kesedaran tinggi daripada masyarakat awam,” katanya.
DBKK menyebut, pelan tindakan yang paling berkesan akan dirangka bagi mengatasi tindakan masyarakat awam yang membuang sampah di tempat yang tidak betul. – Info X