Search

3.1 juta pelancong jana RM7.28 bilion resit pelancongan Sabah tahun lalu

February 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah mencatat peningkatan resit pelancongan sebanyak RM1.52 bilion kepada RM7.28 bilion pada tahun lalu, berbanding RM5.76 bilion pada 2023.

Mengumumkan pencapaian itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew, berkata jumlah itu adalah hasil kedatangan seramai 3.14 juta pelancong pada tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu melebihi sasaran tiga juta pelancong berkunjung ke Sabah yang ditetapkan pihaknya sepanjang 2024.

“Secara keseluruhan, industri pelancongan di Sabah mencatat pertumbuhan yang positif sebanyak 20.4 peratus pada tahun lalu berbanding 2023 dengan jumlah ketibaan pelawat sebanyak 3,147,480, melebihi sasaran tiga juta yang ditetapkan untuk tahun 2024.

“Anggaran ‘tourism receipt’ pada tahun 2024 ialah RM7.28 bilion, iaitu RM1.52 bilion lebih tinggi berbanding tahun 2023 (RM5.76 bilion),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kementeriannya, di sini, malam Isnin.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai.

Christina bersama kakitangan agensi di bawah kementeriannya pada Majlis APC di Kota Kinabalu.

Christina berkata pencapaian sektor pelancongan di Sabah pada tahun lalu menunjukkan pemulihan sebanyak 75 peratus selepas pandemik COVID-19.

“Pencapaian kadar pemulihan itu didorong pertumbuhan pasaran domestik dan negara serantau seperti China dan Brunei.

“Jumlah ketibaan antarabangsa secara keseluruhan pula pulih sebanyak 86 peratus daripada tahap pra-pandemik.

“Pasaran sasaran seperti China, Indonesia, Filipina, Taiwan, Jepun, India dan Eropah juga mencatatkan pertumbuhan positif,” katanya.

Berikutan pencapaian itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk mencapai 3.5 juta pelancong pada tahun ini menerusi pelbagai usaha promosi, termasuk di luar negara dengan sebanyak 11 program promosi luar negara dirancang sepanjang tahun ini.

Katanya, antara sasaran pasaran baharu ialah Russia bagi menarik kedatangan pelancong dari negara itu terutama pada musim sejuk, selain pasaran Australia dan India.

“Kerajaan menyokong usaha kita dalam meningkatkan sektor pelancongan Sabah dan kita yakin dengan perancangan yang dilaksanakan dapat mencapai sasaran kedatangan pelancong pada tahun ini,” katanya. – Info X