Search

Tiga jam musnahkan bom lama

February 26, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil masa lebih tiga jam untuk meletupkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua di tapak pembinaan berdekatan Kilang Lok Kawi Plastic Industries, Kinarut, hari ini.

Usaha meletupkan bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) panjang 120 sentimeter dengan berat 250 kilogram itu bermula jam 10.30 pagi tadi, namun percubaan berkenaan tidak berhasil.

Bagaimanapun usaha diteruskan oleh UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah sebelum bom lama itu berjaya diletupkan kira-kira 2 petang tadi.

Letupan kuat disusuli dengan gegaran dirasai di sekitar Kinarut.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Pasukan keselamatan yang menjalankan operasi pemusnahan bom lama di Kinarut.

“Usaha memusnahkan bom lama itu dijalankan beberapa kali untuk lengkapkan prosedur letupan.

“Akhirnya kira-kira jam 2 petang, bom lama berjaya dimusnahkan dengan kawalan ketat pasukan polis bersama agensi lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara agensi terbabit iaitu Jabatan Alam Sekitar Sabah, Jalan Penerbangan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dan Sabah Electricity.

Semalam, sekumpulan pekerja binaan yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan itu menemui sebutir bom lama, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Keadaan lokasi letupan bom lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua di Kinarut.

Susulan penemuan itu, sepasukan polis dari UPB IPD Papar dan IPK Kontinjen Sabah, bergegas ke lokasi dan menemui bom berkenaan dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua. – Info X