KOTA KINABALU: Tiga lelaki termasuk dua bersaudara dipercayai ahli sindiket dadah antarabangsa ditahan, dan 50.25 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3 juta dirampas.
Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 27 hingga 38 tahun itu ditahan di tepi jalan berhampiran pintu masuk balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, jam 12.40 tengah hari, 7 September lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ketika kejadian sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah telah menahan sebuah kereta jenis Mazda warna putih di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan kereta itu dinaiki oleh tiga lelaki warga tempatan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Salah seorang suspek cuba melarikan diri ketika menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan serbuan terhadap kenderaan yang dinaiki suspek menemui dan merampas 50 bungkusan berisi dadah disyaki jenis Methamphetamine atau syabu.
“Berat kasar keseluruhan 50.25 kg bernilai kira-kira RM3 juta (nilai pasaran Sabah) disembunyikan di bahagian belakang kerusi penumpang belakang,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, siasatan awal mendapati dadah yang dirampas dibawa masuk dari Sarawak menggunakan jalan darat dan bakal digunakan untuk pasaran Sabah dan negara jiran.
Katanya, ketiga-tiga suspek ini baru tiba dan dalam perjalanan ke Tawau.

“Ketiga-tiga suspek ini berasal dari Sarawak dan dipercayai suspek ini terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dari Sarawak sampai ke Tawau untuk pasaran di luar negara.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati salah seorang mereka ini positif dadah jenis Amphetamine dan mempunyai rekod lampau iaitu disiasat mengikut 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga termasuk dua daripada mereka adalah bersaudara dipercayai ahli sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa.
Katanya, dalam serbuan itu juga, pasukan polis turut merampas pelbagai matawang berjumlah RM1,092 antaranya Dollar Brunei, Baht Thailand, Yuan China, Dollar America dan Ringgit Malaysia serta telefon bimbit dan barang kemas bernilai RM15,475.
“Sitaan terhadap pemilikan lain masih dalam siasatan meliputi simpanan bank dan harta alih/tidak alih yang lain.
“Semua suspek kini direman sehingga 14 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ARB 1952,” katanya. – Info X