TAMBUNAN: Lima termasuk kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki terbabas ke gaung sedalam hampir 30 meter di Jalan Kampung Pahu, di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira 8.30 malam itu, tiga wanita dewasa cedera manakala dua termasuk kanak-kanak selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penolong Penguasa Bomba, Mitchell Francis George berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza terbabas sendiri ke gaung.
Katanya, terdapat lima mangsa terlibat telah keluar sendiri daripada kereta sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Tiga mangsa cedera dan diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Tambunan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, seorang lelaki dan kanak-kanak tidak mengalami kecederaan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud operasi ditamatkan pada jam 9.50 malam.
“Operasi dijalankan tujuh anggota bomba bersama KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – Info X