Search

Shafie pertikai pemilihan kontraktor projek BESS, minta Madius beri penjelasan

December 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertikai penganugerahan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bernilai RM645 juta di Lahad Datu kepada MSR Green Energy Sdn Bhd (MSR-GE).

Beliau mendakwa pemberian projek itu kepada syarikat berkenaan menimbulkan persoalan berikutan ada maklumat mengatakan sebuah syarikat berpusat di China mengemukakan bidaan lebih rendah, selain memenuhi keperluan teknikal untuk projek berkenaan.

Berikutan itu, Shafie meminta Sabah Electricity (SE) dan Pengerusinya, Datuk Seri Madius Tangau untuk memberikan penjelasan yang lebih telus mengenai pemilihan syarikat bagi melaksanakan projek terbabit.

“Datuk Seri Madius Tangau dan SE perlu menjelaskan mengapa bidaan yang lebih tinggi dipilih sedangkan terdapat pilihan yang lebih menjimatkan kos.

“Rakyat Sabah berhak mendapatkan keputusan yang telus dan berasas, terutama apabila wang rakyat dan kesejahteraan mereka dipertaruhkan.

“Memastikan nilai untuk wang adalah penting dalam melaksanakan projek sebesar ini,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Semporna itu turut menekankan struktur tarif elektrik semasa di Sabah yang memberikan beban tidak seimbang kepada pengguna, terutama isi rumah berpendapatan rendah.

Beliau mendakwa, tarif domestik di Sabah tinggi yang mana rakyat perlu membayar 17.5 sen/kWh untuk 100 kWh pertama, sebelum meningkat kepada 33 sen/kWh untuk 100 kWh seterusnya dan sehingga 47 sen/kWh bagi penggunaan melebihi 1,000 kWh.

Sebaliknya, beliau berkata tarif elektrik di Semenanjung untuk penggunaan yang sama jauh lebih rendah.

“Cabaran di kawasan luar bandar banyak isi rumah bergantung kepada SE untuk bekalan elektrik tetapi sering menghadapi gangguan bekalan dan ketidakcekapan namun membayar kadar yang sama seperti di kawasan bandar.

“Keadaan ini menambah beban kewangan dan perkhidmatan kepada penduduk luar bandar,” katanya.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, tarif elektrik di Sabah juga nemberi impak kepada perniagaan pengguna komersial voltan sederhana yang terpaksa menghadapi caj waktu puncak sebanyak 32.4 sen/kWh bersama caj permintaan sebanyak RM32.60 per kW.

Katanya, kos tinggi itu meningkatkan perbelanjaan operasi industri yang akhirnya dibebankan kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kos RM645 juta bagi projek BESS di Lahad Datu menimbulkan kebimbangan mengenai bagaimana perbelanjaan tambahan itu akan terus membebankan sistem yang sedia ada.

Shafie menegaskan bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan lebih daripada yang sepatutnya dalam projek itu akan memberi kesan kepada pengguna, sekali gus memburukkan lagi situasi kewangan rakyat Sabah.

Katanya, rakyat Sabah membayar antara kadar elektrik tertinggi di rantau ini berbanding purata pendapatan isi rumah, menjadikan isu kemampuan sebagai perkara yang kritikal.

Beliau juga menegaskan kepentingan ketelusan dalam projek awam berskala besar.

“Saya faham bahawa SE dan Datuk Seri Madius Tangau menghadapi cabaran dalam mengimbangi keperluan teknikal dan pertimbangan kewangan.

“Namun, orang awam harus diberikan akses kepada kriteria penilaian dan alasan di sebalik pemilihan MSR Green untuk memastikan keyakinan terhadap proses tersebut,” katanya.

Shafie juga menyatakan bahawa keterbukaan yang lebih besar akan membantu membina kepercayaan dalam kalangan rakyat.

“Dengan berkongsi butiran proses penilaian, SE dapat meyakinkan rakyat Sabah bahawa setiap usaha telah dilakukan untuk mendapatkan tawaran terbaik untuk negeri ini,” katanya.

Beliau menggesa agar satu semakan bebas dilakukan terhadap proses tender serta penerbitan dokumen berkaitan, termasuk kriteria pemarkahan dan laporan penilaian.

“Ini bukan soal menyalahkan mana-mana pihak, ia mengenai memastikan keputusan terbaik untuk rakyat Sabah.

“Keputusan seperti ini membentuk masa depan tenaga kita dan kita perlu melakukannya dengan betul,” katanya. – Info X