KOTA KINABALU: Seorang pemandu dan dua penumpang cedera selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terbakar di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Taman Puri Warisan, Inanam, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian jam 4.50 pagi itu, pemandu lelaki berusia 18 tahun cedera di kepala manakala dua penumpang wanita dewasa cedera di bahagian kaki dan kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 4.57 pagi.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai terbabas sendiri lalu terbakar.

“Terdapat tiga mangsa cedera dan semuanya diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
“Seterusnya mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans untuk rawatan lanjut,” Katanya ketika dihubungi, hari ini.
Agustavia berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran untuk memadam kebakaran
“Sumber air daripada tangki jentera dan kereta Myvi berkenaan terbakar 100 peratus.
“Operasi terkawal pada 5.07 pagi dan tamat sepenuhnya 10 minit kemudian,” katanya. – Info X