Search

Penagih sembunyi 3 jam dalam semak

August 5, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Tindakan seorang penagih melarikan diri sebelum bersembunyi dalam semak selama tiga jam, gagal apabila berjaya dicekup polis dalam Ops Sarang Bersepadu, hari ini.

Operasi bermula kira-kira 4 pagi itu, di kawasan setinggan di Kampung Lembaga Padi dan Kandang Ayam, Inanam.

Suspek pada mulanya melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak sebaik menyedari kehadiran pasukan polis di Kampung Lembaga Padi.

Pasukan serbuan yang menjalankan Ops Sarang Bersepadu di Kampung Lembaga Padi dan Kandang Ayam, Inanam. – Foto/IPD KK

Helah suspek Bagaimanapun berjaya dikesan polis menjelang siang selepas pasukan serbuan mengepung kawasan semak sebelum menahan suspek yang didapati positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek adalah antara 11 individu yang ditahan dalam operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Ops Bersepadu ini di adakan bagi membanteras kegiatan penagihan dadah yang berlaku di kawasan yang didiami masyarakat pada masa yang sama mengembalikan suasana selamat di tempat berkenaan.

“Operasi juga bagi memastikan masyarakat setempat rasa selamat dari unsur-unsur jenayah pecah rumah atau lain-lain jenayah yang berada di kawasan mereka,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi dijalankan dengan menyasarkan kawasan penagihan dan menangkap pengedar dadah.

Pasukan polis yang menjalankan Ops Sarang Bersepadu di Kampung Lembaga Padi dan Kandang Ayam, Inanam. – Foto/IPD KK

“Sepanjang operasi dijalankan, keadaan cuaca dalam keadaan baik tanpa ada gangguan bagaimanapun pasukan serbuan menghadapi cabaran menjalankan operasi di kawasan setinggan dengan keadaan rumah yang tidak tersusun.

“Pasukan serbuan juga berhadapan cabaran keselamatan iaitu terpaksa menjalankan operasi di kawasan yang mempunyai sambungan wayar elektrik haram yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, semua pasukan tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi dapat dijalankan dengan baik dan terkawal tanpa sebarang masalah.

Operasi yang berakhir jam 10 pagi itu dengan kekuatan empat pegawai dan 17 anggota dari BSJN IPD Kota Kinabalu dengan bantuan daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Pasukan Gerakan Am (PGA). – Info X