BELURAN: Enam termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Simpang Muanad 3, di sini, hari ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Proton Saga dan Perodua Viva, jam 1.10 tengah hari.
Katanya, anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 1.18 tengah hari.
“Mangsa yang terbabit iaitu empat termasuk dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11, 9 dan 8 tahun dari Proton Saga cedera, manakala dua lagi cedera dari Perodua Viva.
“Terdapat seorang mamgsa tersepit dalam Proton Saga dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Beluran menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, lima mangsa yang cedera turut dihantar ke Hospital Beluran menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
“Seterusnya pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud.
“Operasi ditamatkan pada jam 1.49 tengah hari,” katanya. – Info X