KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran menampilkan rancangan ‘Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara’ bagi membangunkan negeri ini sebagai hab ekonomi Malaysia yang baharu.
Perkara itu dicadang Datuk Ewon Benedick (PH – Kadamaian) ketika sesi perbahasan usul ucapan Yang di-Pertua Negeri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Katanya, pelaksanaan cadangan itu penting sejajar langkah Indonesia yang kini sedang rancak membangunkan Ibu Kota Negara (IKN) di Nusantara, Kalimantan Timur.
“Ini adalah satu pengiktirafan mereka kepada potensi yang amat besar di Pulau Borneo. Saya menjangkakan mereka akan mulai berpindah ke Nusantara pada tahun ini juga.
“Dalam hubungan ini, saya berpendapat sudah tiba masanya Kerajaan Sabah tampil dengan satu rancangan ‘Dasar Pandang ke Timur Dalam Begara’ iaitu membangunkan Sabah (dan Sarawak) sebagai hab ekonomi Malaysia yang baharu.
“Saya mencadangkan kepada Kerajaan Sabah dan agar kita tampil dengan satu pelan rancangan ekonomi yang progresif untuk dikemukakan dan dituntut daripada Kerajaan Persekutuan terutama dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe13) 2026-2030,” katanya.
Jelasnya, jika Indonesia sedang membangunkan IKN di Kalimantan, manakala Thailand pula mulai bercakap membina terusan kapal, maka selayaknya Sabah perlu tampil kompetitif dalam perancangan potensi ekonomi masa depan.
Beliau berkata, tumpuan terutamanya kepada aktiviti perdagangan yang aktif di Laut Sulu dan aktiviti perhubungan udara Borneo yang semakin rancak di Sabah.
Sementara itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan komitmennya untuk terus bekerjasama padu bagi membangunkan sektor keusahawan di Sabah melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah seperti dihasratkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menyusuli amanat ini dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah bagi pembangunan komuniti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain koperasi di Sabah.
“KUSKOP juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi merumuskan bersama cadangan intervensi keusahawanan dan pendidikan bagi menangani insiden kemiskinan tegar di Sabah bagi saling melengkapi inisiatif yang direncanakan,” katanya. – Info X