Search

Laksanakan kempen kawal emosi, kemarahan cegah kes dera

April 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kempen mengawal emosi dan kemarahan perlu dilaksanakan sebagai langkah mencegah penderaan kanak-kanak yang sehingga kini masih gagal ditangani dengan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin, berkata masyarakat, khususnya yang mahu mendirikan rumah tangga perlu diterapkan dengan kaedah yang betul untuk mengawal emosi.

Katanya, kementerian dan agensi yang berkaitan perlu bertindak segera melaksanakan perkara itu selain mengambil langkah yang lebih serius dan drastik bagi memastikan penderaan terhadap kanak-kanak tidak lagi berulang.

“Jiran-jiran dan orang awam yang melaporkan kes dera juga wajar diberikan ganjaran dan insentif supaya ada sifat berlumba-lumba untuk mengambil cakna terhadap masalah sosial di tempat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan usul ucapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, masalah penderaan kanak-kanak perlu diberikan perhatian serius memandangkan sehingga kini ia masih berlarutan dan menjadi kanser atau barah dalam komuniti.

Tegasnya, penderaan dan kezaliman terhadap kanak-kanak adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima dan dipandang remeh oleh komuniti serta penggubalan akta, undang-undang, bahkan langkah segera perlu diambil bagi ‘membunuh’ penyakit itu.

“Baru-baru ini juga kita sangat terkejut apabila dilaporkan satu kes dera membabitkan kanak-kanak berusia lima dan 13 tahun, yang ditekap dengan seterika, disiram dengan air panas dan dipukul dengan batang besi.

“Kita tidak faham mengapa masih ada individu yang bergelar manusia sanggup memperlakukan kanak-kanak, golongan lemah yang sepatutnya dilindungi, dijaga, diberikan pendidikan dan dicurahkan kasih sayang tetapi dijadikan mangsa kekejaman ibu bapa dan penjaga.

“Sampai bila kita harus menatap berita-berita yang menyayat hati seperti ini, sedangkan haiwan tidak memperlakukan anak mereka dengan kejam, bagaimana kita ini yang bergelar manusia tetapi langsung tidak mempunyai sifat simpati dan belas ihsan,” katanya.

Dalam pada itu, Amisah turut meminta agar kejiranan, guru, pemimpin peringkat komuniti dan ahli keluarga sendiri supaya peka dan melatih anak-anak mengenai maksud penderaan serta berani bersuara jika menjadi mangsa.

“Kita mesti melatih anak-anak untuk lebih peka dan kita juga perlu peka terhadap murid dan kanak-kanak di bawah jagaan kita. Jika dilihat mencurigakan segera lapor kepada polis bagi pemeriksaan segera.

“Sudah pasti, saya juga mahu dan meminta agar pihak berkaitan mengkaji semula hukuman yang dikenakan kepada pesalah kes dera supaya hukuman adalah setimpal dan mampu memberi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Amisah menegaskan bahawa hukuman sedia ada mungkin memberi tanggapan kepada pesalah kes dera bahawa undang-undang negara tidak ketat terhadap isu penderaan.

“Perlu ada hukuman sebat dan penjara yang lama kepada pelaku dan mereka perlu merasai sakit bagaimana mereka menyakiti kanak-kanak.

“Mangsa dera akan mengalami trauma seumur hidup mereka, sedangkan pelaku boleh bebas begitu sahaja jika dikenakan sekadar penjara setahun atau dua tahun.

“Saya menggesa Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah dan agensi-agensi yang berkaitan supaya bersama-sama mencari solusi kenapa sering berlaku penderaan,” katanya.

Selain itu, Amisah juga meminta pihak berwajib untuk mengatasi masalah buli pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Merujuk kepada kes buli melibatkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang maut akibat dipukul di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu baru-baru ini, ia sangat menyedihkan kita.

“Mangsa yang juga pelajar program bioteknologi di kolej berkenaan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan hanya disebabkan perselisihan kecil membuktikan bahawa isu buli perlu ditangani secara serius sebelum virus ini menjadi budaya dalam kehidupan generasi kita yang akan datang,” katanya. – Info X