TAWAU: Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan pada Julai lalu dan awal bulan ini.
Tertuduh, Ibrahim, 36, Mohammad Ilham Sjafei, 32, dihukum penjara sehari dan denda RM5,300, manakala seorang lagi, Jumaydi Muslim, 34, didenda RM6,000.
Semua tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ibrahim yang memandu kenderaan didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 5 petang, 24 Julai lalu di Kilometer 22 Jalan Apas, di sini.
Ibrahim didakwa gagal memandu dengan cermat menyebabkan kenderaannya melanggar sebuah pacuan empat roda dan sebatang tiang lampu.
Mohammad Ilham pula didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.45 malam, 30 Julai lalu di Jalan Persisir Tawau, dekat sini.
Tertuduh didakwa memandu laju hingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya terbabas dan melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan.
Sementara itu, Jumaydi didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira jam 2.50 petang, 5 Ogos lalu di Batu 2 Jalan Apas, di sini.
Jumaydi memandu sebuah pacuan empat roda dengan laju hingga menyebabkan kenderaannya terbabas dan melanggar tiang lampu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 12 bulan dan denda RM10,000.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandu diendos.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Joan Lee, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X