Search

3 lokasi Bazar Ramadan Rahmah di Sabah, pemberian e-tunai kepada pengunjung terawal

April 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Masyarakat setempat kini berpeluang mengunjungi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di tiga lokasi iaitu masing-masing di Kota Kinabalu, Putatan dan Tawau, sepanjang bulan Ramadan ini.

Tiga lokasi berkenaan ialah di Lintasan Deasoka di Kota Kinabalu, Hadapan Sabindo Plaza di Tawau dan Juara Sport Arena, Ketiau di Putatan.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama rakan strategik dari pihak penyedia perkhidmatan e-wallet iaitu Touch ‘n Go dan Boost turut menawarkan pemberian insentif e-tunai kepada 6,000 pengguna atau pengunjung dalam bentuk e-wallet bernilai RM20 bagi 1,000 pengunjung terawal di setiap lokasi BRR pada tarikh-tarikh terpilih.

Pemberian insentif berkenaan adalah seperti berikut :

1. BRR Lintasan Deasoka – 1 dan 2 April (Touch n’ Go); 8, 9, 15, dan 16 April (Boost).

2. BRR Juara Sport Arena Ketiau – 8 dan 9 April (Boost).

3. BRR Hadapan Sabindo Plaza – 1, 2, 15 dan 16 April (Boost).

Pengarah KPN Sabah, Georgie Abas berkata, BRR merupakan sebuah inisiatif terbaharu kerajaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.

Katanya, ini termasuklah dengan menggalakkan peniaga bagi menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk yang seimbang berteraskan Menu Rahmah kepada pengunjung yang hadir ke Bazar Ramadan pada tahun ini.

“Antara kriteria BRR adalah di mana terdapat peniaga yang
menawarkan Menu Rahmah, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa Rahmah serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti.

“Inisiatif BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara KPDN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau swasta tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, KPDN Sabah turut melaksanakan Program Advokasi Kepenggunaan di ketiga tiga BRR tersebut menerusi Kuiz Kepenggunaan dan edaran risalah kepada para pengunjung bazar.

“KPDN Sabah ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada PBT dan rakan strategik dari pihak penyedia perkhidmatan e-wallet (Touch ‘n Go dan Boost) serta semua pihak yang terlibat di atas komitmen menjayakan inisiatif BRR ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Sabah di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini,” katanya. – Info X