Search

Jangan bimbang, Sabah terima aliran Pelaburan FDI yang sihat – Yong

April 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Pengerusi Kumpulan POIC, Datuk Yong Teck Lee berkata, komuniti perniagaan di Sabah tidak perlu terlalu bimbang walaupun tiada satu pun daripada 19 memorendum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Beijing, China sempena lawatan Perdana Menteri membabitkan syarikat atau pelaburan di negeri ini.

Ini kerana, katanya, Sabah telah pun menerima aliran Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang sihat, termasuk dari China dan Korea.

Beliau berkata, pelaburan China di Sabah, seperti Kibin Solar New Materials untuk pembuatan kaca solar adalah pelaburan berkualiti yang menyediakan pekerjaan berkualiti dan kesan pengganda kepada ekonomi domestik Sabah.

“POIC Sabah sendiri telah menyaksikan peningkatan yang kukuh dalam pelaburan dalam pemprosesan hiliran minyak sawit, pelaburan dalam tenaga hijau daripada biojisim, syarikat logistik yang ditubuhkan di POIC dan peningkatan kargo barangan di pelabuhan POIC, termasuk kerjasama dengan pelabuhan Shandong di China dan pelabuhan Korea.

“Ini terutama selepas pelancaran pelabuhan POIC oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, tahun lepas. Minat pelabur di POIC Lahad Datu juga melonjak apabila ketua menteri mengumumkan Inisiatif Zon Bebas pada 5 September tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yong berkata, seperti yang dilaporkan media, pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak dua tahun lepas, pelaburan asing di KKIP dan SOGIP begitu juga dalam industri agro perikanan juga telah mula beroperasi.

“Dalam beberapa bulan akan datang, dijangka perdagangan dan ketibaan pelancong China akan menyaksikan aliran menaik.

“Pengesahan terbaru mengenai hubungan rapat antara Malaysia dan China yang telah dibina lebih 50 tahun akan meningkatkan keyakinan bersama di kalangan komuniti perniagaan Sabah dan pelabur China di Sabah,” katanya. – Info X