PENAMPANG: Tiga pemandu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras yang dibenarkan dalam ‘Op Mabuk’ di Jalan Pintas, di sini, awal pagi tadi.
Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua pemandu terbabit ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000.
“Sepanjang Op Mabuk dijalankan, pihak polis turut mengeluarkan 13 keping saman atas pelbagai kesalahan dan enam daripadanya tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, operasi kali ini diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad dengan dibantu oleh sembilan anggota polis dan berakhir jam 3 pagi.
“Seramai 95 individu dan 83 kenderaan telah diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan,” katanya. – Info X