Search

KPMKR akui kepentingan media salurkan maklumat kepada rakyat

September 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) mengakui kepentingan media dalam menyebarkan maklumat yang ada hubung kait rapat dengan rakyat seperti isu kesihatan dan kesejahteraan.

Menterinya, Datuk James Ratib, berkata kementeriannya merancang banyak agenda untuk kumpulan sasar dan ia perlu dikongsikan kepada rakyat melalui bantuan media.

“Bagi kami di kementerian, maklumat mengenai agensi di bawah KPMKR, yang mempunyai hubungan rapat dengan rakyat, seperti sektor kesihatan, kesejahteraan dan beberapa bidang keutamaan lain, harus dikongsikan.

“Berikutan itu, suka saya menegaskan bahawa pihak KPMKR senantiasa bersedia mengeratkan lagi kerjasama dengan pihak media,” katanya pada majlis ramah mesra bersama media, di Inanam, dekat sini, malam tadi.

Beliau menekankan kepentingan media memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat mengenai golongan sasar KPMKR seperti wanita, kanak-kanak, golongan tua, pesakit dan orang kelainan upaya (OKU) serta cara untuk membantu mereka.

Datuk James Ratib ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama media di Inanam.

“Saya berpendapat, semua pihak harus melihat semula fungsi yang dimainkan oleh media massa dalam menyebarluaskan maklumat mengenai isu kesamarataan hak-hak golongan sasar ini kepada masyarakat.

“Ini kerana, akibat daripada kekurangan pengetahuan yang sahih mengenai fungsi media massa sebagai pencorak sosio-budaya serta maklumat mengenai kesamarataan hak-hak golongan berkeperluan khas yang ada, maka hal ini menyebabkan kesukaran mengidentifikasikan proses pemahaman, penilaian dan pembentukan tingkah laku dalam masyarakat.

“Oleh itu, kita harus bertindak membantu mengatasi kekurangan maklumat dan pengetahuan masyarakat mengenai kesamarataan hak dalam kalangan golongan sasar di Malaysia dari perspektif media dan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, media massa adalah alat atau instrumen terpenting yang digunakan untuk menyampaikan maklumat, membina persepsi dan tanggapan serta membentuk sikap masyarakat mengenai maklumat yang disampaikan.

Datuk James Ratib (kiri) memberikan sijil penghargaan kepada Pengurus Besar Kupikupi FM, Lester Calvin Miol pada majlis ramah mesra bersama media di Inanam.

Sementara itu, James berkata majlis ramah mesra dan makan malam bersama media anjuran kementeriannya adalah untuk menghargai warga media yang diakui sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Saya merakamkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan media yang sentiasa menyokong KPMKR dalam menyebarluaskan informasi dan seterusnya menaikkan imej KPMKR di semua peringkat.

“Besarlah harapan saya, agar komitmen dan hubungan baik antara KPMKR dan rakan-rakan media terus dapat ditingkatkan dan dikekalkan,” katanya. – Info X