KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Lintas berhampiran kawasan Iramanis, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y25ZR, Perodua Aruz, Myvi dan Van Urban.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati penunggang motosikal lelaki berusia lingkungan 20-an dari arah Inanam menuju ke arah Bukit Padang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, di lorong tengah telah bergesel dengan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita menyebabkan motosikal itu terlanggar bahagian belakang sebuah lagi kenderaan.
“Berikutan itu, penunggang motosikal tercampak ke lorong kiri dan terkena bucu kanan bahagian belakang sebuah lagi kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
“Motosikal mangsa mengalami kerosakan remuk pada bahagian hadapan.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas. – Info X