Search

Lelaki berseluar dalam ditahan curi pakaian dalam wanita

September 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencuri pakaian dalam wanita dari asrama salah sebuah kolej di Likas, di sini, Selasa lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 11 malam selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan dan hanya berseluar dalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian disedari mangsa seorang wanita yang juga penuntut kolej berusia 21 tahun.

Katanya, mangsa mendapati pintu utama asramanya dalam keadaan terbuka sebelum menyedari kehadiran seorang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam rumah berkenaan.

“Ketika ditemui, suspek dalam keadaan separuh bogel dengan hanya memakai seluar dalam.

“Bimbang dengan keselamatan dirinya, mangsa terus membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda.

Kasim berkata, bertindak atas laporan, suspek yang membawa beg sandang berjaya ditahan di lokasi sama sejurus selepas itu.

Katanya, hasil pemeriksaan pada beg sandang berkenaan, polis menemui beberapa pakaian dalam wanita yang dipercayai dicuri oleh suspek.

“Suspek terus ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379/448 Kanun Keseksaan,” katanya. Info X