TAWAU: Polis menasihati masyarakat di daerah ini supaya sentiasa mengambil sikap berhati-hati dan berwaspada terhadap sebarang kemungkinan jenayah yang mungkin berlaku terhadap mereka.
Peringatan itu dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan maklumat berkaitan kumpulan yang didakwa mengunjungi rumah penduduk dan menyamar sebagai Pegawai Dalam Negeri ditularkan di media sosial.
Kumpulan itu dikatakan mempunyai dokumen dan kepala surat Kementerian Dalam Negeri dan mendakwa mereka perlu mengesahkan bahawa semua orang mempunyai kad pengenalan yang sah untuk banci yang akan datang.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berkaitan sebarang kejadian seperti yang dilaporkan.
Katanya, tiada laporan berkenaan kejadian dirompak oleh mana-mana individu yang menyamar seperti yang didakwa.
“Meskipun tiada laporan polis yang diterima setakat ini, saya menasihati semua masyarakat supaya sentiasa mengambil sikap berhati-hati dan berwaspada dalam setiap keadaan.
“Untuk makluman juga, pada masa ini Tawau kini berada dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, masyarakat juga dinasihatkan supaya sentiasa bekerjasama pihak polis dengan menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran.
“Sentiasa simpan nombor telefon talian Hotline IPD Tawau di 089-772121 dan berhubung dengan pihak polis atau membuat laporan polis di mana-mana balai polis yang berhampiran sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan,” katanya. – Info X