KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Ceasar Mandela Malakun adalah antara tiga Pembantu Menteri yang ditugaskan di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Dua lagi ialah Datuk Joniston Bangkuai (GRS-Kiulu) dan Datuk Isnin Aliasnih (GRS-Klias), menjadikan portfolio Jabatan Ketua Menteri mempunyai bilangan Pembantu Menteri paling ramai berbanding portfolio lain.
Nama mereka diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mesyuarat Kabinet negeri yang pertama di bawah kerajaan baharu GRS Plus yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, Sabtu lalu.
Secara keseluruhan seramai 17 pembantu menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.
Baki 14 lagi pembantu menteri ditempatkan di beberapa kementerian lain termasuk dua pembantu menteri di bawah Kementerian Kerja Raya dan Utiliti iaitu Datuk Limus Jury (GRS) dan Datuk Seri Dr Ruddy Awah (GRS).
Selain itu, dua pembantu menteri juga ditempatkan di bawah Kementerian Kewangan iaitu Datuk Ben Chong (GRS) dan Datuk Ishak Ayub (STAR).
Di bawah Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan pula, Datuk Jonnybone Kurum (GRS) satu-satunya pembantu menteri yang dilantik, manakala dua pembantu menteri di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan iaitu Datuk Fairuz Renddan (Bebas) dan Datuk Maijol Mahap (Bebas)
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan turut menerima dua pembantu menteri iaitu Datuk Ruslan Muharam (GRS) dan Datuk Hendrus Anding (GRS), diikuti dua juga pembantu menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar iaitu Datuk Samad Jambri (GRS) dan Datuk Juil Nuatim (GRS).
Selain itu, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi menyaksikan seorang pembantu menteri, iaitu Jordan Jude Ellron (Bebas), manakala Dr Andi Rizal (GRS) juga satu-satunya pembantu menteri di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, Datuk Rina Jainal dilantik sebagai Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat. – Info X