Search

Kabinet Perpaduan Sabah komited pacu kemakmuran, kemajuan negeri – KM

December 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kabinet Perpaduan Sabah yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) komited memacu kemakmuran dan kemajuan Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau yakin terhadap keupayaan anggota Kabinetnya untuk bekerjasama bagi mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan pimpinannya.

“Kita mempunyai keupayaan yang kukuh untuk melaksanakan perkara ini berdasarkan pencapaian pembangunan dan kemajuan yang telah dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lalu.

“Kita bersedia melancarkan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif pada 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Negeri di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menegaskan keperluan untuk memperkukuh Kerajaan Negeri bagi memastikan kestabilan politik yang berterusan dan kesinambungan kemajuan.

Hajiji juga menekankan kejayaan lima tahun lalu adalah hasil usaha dedikasi untuk mewujudkan kestabilan dan memupuk persekitaran kondusif untuk pembangunan.

“Dengan pentadbiran baharu ini, saya dan anggota Kabinet akan memperteguh komitmen untuk mengekalkan kestabilan dan mendokong agenda politik berteraskan perpaduan serta pembangunan.

“Saya adalah Ketua Menteri untuk semua, berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah secara adil tanpa prejudis terhadap latar belakang kaum atau agama mereka,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengumumkan portfolio bagi 17 pembantu menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada Selasa. – Info X