Search

Pemandu maut, treler muat kayu balak terbalik

December 3, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang pemandu treler yang membawa muatan balak maut selepas kenderaan berat yang dipandunya terbabas dan terbalik di bahu jalan sebelum Maliau Basin, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.03 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 133 kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan di lokasi, pemandu lelaki terbabit dilaporkan tersepit dalam kenderaan. Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas oleh pasukan bomba.

“Mangsa berusia lingkungan 40-an berkenaan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut.

Jemishin berkata, operasi berjaya dikawal sepenuhnya dan tamat pada jam 1.19 petang selepas memastikan lokasi kejadian selamat.

Operasi berkenaan turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X