TUARAN: Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Raganan, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 1.25 tengah hari.
Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dan Lintas dihantar ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, operasi pemadaman segera dilakukan menggunakan satu aliran dengan satu pancutan daripada sumber air tangki jentera.
“Dilaporkan kebakaran membabitkan tiga buah rumah jenis tidak kekal terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal jam 2.23 petang dan dipadam sepenuhnya pada 3.17 petang.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” katanya. – Info X