Search

3 rumah terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Numbak

January 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga rumah di Kampung Numbak, Manggatal, di sini terjejas akibat kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat, malam tadi.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohammad Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.40 malam.

Katanya, susulan panggilan berkenaan, seramai empat anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan keselamatan.

Keadaan rumah yang rosak akibat tanah runtuh di Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati berlaku runtuhan tanah yang mengakibatkan kerosakan struktur terhadap rumah penduduk.

“Rumah pertama mengalami kerosakan 100 peratus, manakala rumah kedua rosak 90 peratus dan rumah ketiga mengalami kerosakan 70 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota bomba menjalankan pemantauan keselamatan di lokasi kejadian di Kampung Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat penduduk, tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini, namun seramai tujuh penghuni terjejas akibat runtuhan berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan pemantauan keselamatan di lokasi kejadian.

“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.45 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan tiada bahaya lain,” katanya. – Info X