KOTA KINABALU: Institut Marin Borneo (IMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), merekodkan tiga spesies baharu udang karang berduri (Panulirus spp) dari perairan Sabah.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan UMS pada Isnin, daripada tiga spesies itu, dua adalah rekod baharu bagi Malaysia, manakala satu lagi rekod baharu bagi Sabah.
Katanya, penemuan oleh Penyelidik IMB, Prof Madya Dr Chen Cheng Ann bersama pelajar Sarjana Sains, Ng Wei Ling itu mengukuhkan status Sabah sebagai kawasan kepelbagaian biodiversiti marin bertaraf dunia.
Tiga spesies udang karang berduri terbabit ialah iaitu Panulirus homarus homarus dan P femoristriga yang dikenal pasti sebagai rekod baharu Malaysia, manakala satu lagi ialah P polyphagus rekod baharu bagi Sabah, masing-masing ditemui di perairan pesisir Sabah.
Chen berkata, penemuan itu signifikan kerana ia mengemas kini rekod biodiversiti marin Malaysia serta menekankan keperluan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan di Sabah.

“Sebelum kajian ini, hanya tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus ornatus, P versicolor dan P longipes diketahui terdapat di perairan Sabah sejak 2004.
“Penyelidikan kami kini telah menggandakan jumlah itu kepada enam spesies, sekali gus menunjukkan bahawa masih banyak biodiversiti marin Sabah yang belum diterokai.
“Dalam kajian berkaitan, pasukan kami turut merekodkan Panulirus stimpsoni dari Semenanjung, sekali gus memperluaskan senarai semak udang karang berduri di peringkat kebangsaan,” katanya.
Katanya, penyelidikan lanjut diperlukan bagi menyokong usaha pemuliharaan serta pengurusan mampan spesies yang baharu direkodkan tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa kajian berkenaan dijalankan dalam keadaan mencabar ketika pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta akses yang terhad ke tapak lapangan dan komuniti nelayan.
“Walaupun berdepan pelbagai kekangan, kajian ini berjaya menggandakan kepelbagaian udang karang berduri yang diketahui di Sabah, termasuk dua spesies yang merupakan rekod baharu bagi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor memuji kejayaan pasukan penyelidik yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam bidang sains marin dan mencerminkan kecemerlangan penyelidikan negara.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Dr Chen dan Ng atas dedikasi serta ketabahan mereka dalam menjayakan penyelidikan ini,” katanya.
Sementara itu, Dekan IMB, Prof Madya Dr Faihanna Ching berkata penemuan itu turut mencerminkan kualiti dan kekuatan penyelidikan yang dilaksanakan di institut berkenaan.
Beliau berkata, IMB yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) dijenamakan semula kepada Institut Marin Borneo (IMB) pada Januari 2026 dan kini memperluaskan fokus penyelidikan melalui penubuhan beberapa pusat penyelidikan baharu termasuk dalam bidang oseanografi.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), Ken Kartina Khamis berkata penemuan tiga rekod baharu udang karang berduri itu menekankan kepentingan penyelidikan dan pendokumentasian berterusan sumber biologi Sabah.
“SaBC memberikan Lesen Akses bagi kajian ini di bawah nombor rujukan permit JKM/MBS1000-2/2 JLD13 (152) dan (153), dan kami berbesar hati melihat hasil yang begitu bermakna daripada penyelidikan ini.
“SaBC menggalakkan lebih ramai penyelidik menjalankan kajian biodiversiti di Sabah kerana setiap penemuan baharu akan mengukuhkan usaha merangka strategi pemuliharaan yang lebih berkesan bagi melindungi warisan semula jadi negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr Shuhadah Mustapha, berkata penemuan itu penting bagi menyokong usaha pengurusan sumber perikanan negeri.
“Udang karang berduri adalah antara kumpulan krustasea yang mempunyai nilai komersial tinggi dan peningkatan kepelbagaian spesies yang diketahui menunjukkan bahawa protokol pengurusan perikanan perlu dikemas kini.
“Jabatan Perikanan Sabah akan mengambil kira penemuan ini dalam pelan pengurusan masa hadapan dan berharap dapat terus bekerjasama dengan UMS,” katanya.
Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Maklarin Lakim, berkata penemuan itu memberikan justifikasi saintifik tambahan bagi memperkukuh strategi pemuliharaan di kawasan perlindungan marin utama seperti Taman Tun Mustapha dan Taman Tunku Abdul Rahman.
Beliau turut menyatakan komitmen Taman-Taman Sabah untuk terus bekerjasama dengan UMS dalam usaha memelihara dan melindungi biodiversiti marin negeri ini.
Sebelum ini, data mengenai kepelbagaian udang karang berduri di Sabah tidak dikemas kini sejak 2004 dan peningkatan jumlah spesies yang direkodkan menunjukkan lebih banyak biodiversiti marin berpotensi masih belum didokumentasikan di perairan pesisir dan pulau-pulau di negeri ini.
Pasukan penyelidik turut mencadangkan agar tinjauan biodiversiti diperluaskan, termasuk penggunaan alat molekul seperti environmental DNA (eDNA), serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti nelayan tempatan bagi memastikan sumber marin Sabah dapat diuruskan secara mampan untuk generasi akan datang. – Info X