Search

Lima mangsa pemerdagangan orang diselamatkan Polis Sabah

March 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Sabah menyelamatkan lima individu, termasuk seorang kanak-kanak, yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang dalam operasi khas di beberapa kawasan ladang di negeri ini, baru-baru ini.

Operasi dikenali sebagai Op Pintas Bilangan 2/2026 itu dijalankan Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Bahagian Siasatan Jenayah daerah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan berkaitan eksploitasi pekerja ladang.

Katanya, serbuan dijalankan pada 14 hingga 15 Mac lalu di beberapa kawasan ladang di daerah Kunak, Kinabatangan dan Beluran.

“Dalam operasi ini, polis berjaya menyelamatkan lima mangsa pemerdagangan orang termasuk seorang kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi pekerjaan.

“Pada masa sama, seramai 16 individu turut ditahan termasuk penyelia ladang, pekerja warga asing tanpa dokumen sah serta individu yang dipercayai terlibat dalam pengurusan pekerja di ladang terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebahagian pekerja yang ditemui bekerja tanpa dokumen perjalanan sah.

Selain itu, katanya, terdapat juga unsur eksploitasi pekerjaan seperti pasport pekerja dipegang oleh majikan, kadar gaji rendah serta keadaan tempat tinggal pekerja yang tidak kondusif.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) selain beberapa peruntukan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Jauteh berkata, mangsa yang diselamatkan dibawa untuk pemeriksaan kesihatan serta menjalani proses perlindungan lanjut, manakala semua suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, PDRM Sabah akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi memastikan aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi pekerja dapat dibanteras.

“Orang ramai juga dinasihatkan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan orang bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya. – Info X