KOTA KINABALU: Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah (PADUNEGERI) memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata jawatankuasa itu menjadi platform untuk membincangkan isu berkaitan yang mungkin timbul.
“Platform seperti PADUNEGERI membolehkan kita membincangkan isu yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keharmonian dan persefahaman terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat PADUNEGERI Sabah yang pertama bagi tahun ini, di sini, pada Isnin.
Julita berkata usaha memperkukuh perpaduan tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), sebaliknya memerlukan penglibatan serta komitmen pelbagai pihak berkepentingan.
“Tanggungjawab memperkukuh perpaduan tidak terletak pada satu agensi sahaja. Ia juga perlu disokong oleh rakan strategik, pemegang taruh serta kepimpinan di peringkat akar umbi,” katanya.
PADUNEGERI katanya berfungsi sebagai forum untuk membincangkan isu berkaitan perpaduan, menjelaskan perkara semasa yang mungkin timbul di peringkat akar umbi serta mencadangkan inisiatif bagi terus memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Jawatankuasa itu dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta pemegang taruh yang terlibat dalam inisiatif berkaitan perpaduan, dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah bertindak sebagai sekretariat.
Julita turut berharap platform berkenaan akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi serta meningkatkan usaha memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pembantu Menteri KWKKR, Datuk Rina Jainal dan Setiausaha Tetap, Datuk Maria Chong serta Pengarah JPNIN Sabah, Rina Ab Harun. – Info X