KENINGAU: Selepas lebih tiga bulan diburu polis, seorang lelaki yang dikehendaki bagi kes mendatangkan cedera parah terhadap seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) akhirnya diberkas dalam serbuan di Kampung Pauh Tulid, Sook, Sabtu lalu.
Suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun itu ditahan jam 7.40 malam di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan kes serangan menggunakan senjata tajam yang berlaku pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
“Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada 9 Disember 2025, mangsa seorang anggota polis lelaki berusia 39 tahun diserang dipercayai menggunakan pedang jenis samurai di tepi jalan Kampung Pauh Tulid, Sook.
“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk patah ibu jari kiri selain luka tetakan pada bahagian belakang badan dan lengan bawah tangan kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sook sebelum laporan polis dibuat bagi memulakan siasatan.
Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terbabit menyerang mangsa dalam kejadian berkenaan.
“Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, selain ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Suspek kini direman selama lima hari bermula semalam hingga 20 Mac bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Yampil berkata, polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya. – Info X