KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meneruskan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) pada tahun depan dengan membina sebanyak 3,000 rumah dengan kos RM250 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata program itu bagi membantu rakyat yang dalam kesusahan dan memerlukan rumah kediaman.
“InsyaAllah, pada tahun hadapan, sebanyak 3,000 buah rumah seumpamanya akan dibina di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kos sekitar RM250 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Rakyat 2024: Sayangi Sabah yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Sukan Likas, semalam.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan Program Madani Rakyat yang tercetus dari Gagasan Malaysia Madani sebagai satu usaha kerajaan untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat.
Usaha itu, katanya meliputi beberapa inisiatif ke arah membantu mengurangkan beban hidup golongan kurang bernasib baik, termasuk program menoktahkan miskin tegar.
Sabah dipilih sebagai lokasi penutup Program Madani Rakyat 2024 setelah dilaksanakan secara jelajah di lima zon seluruh negara.
Jelasnya, program mega seperti itu bukan saja mampu menyatukan pemimpin dengan rakyat, malah membuka ruang dan peluang untuk rakyat memahami dasar kerajaan dan segala program pembangunan, di samping memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk rakyat jelata dan golongan akar umbi.
“Semua yang terdapat dalam program ini adalah berasaskan kepada keperluan rakyat yang meliputi pelbagai bidang dan sektor yang menjurus kepada pembangunan dan kesejahteraan.
“Program murni ini berpaksikan kepada keperluan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, selaras dengan objektifnya yang antara lain untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang disediakan untuk rakyat.
“Ia juga bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan dasar-dasar pembangunan kerajaan,” katanya.
Program tiga hari yang bermula Jumaat lalu itu berlangsung hingga jam 6 petang hari ini. – Info X