Search

Lima mangsa bot karam latihan regata di Kuching ditemui lemas

October 20, 2024

Info X Reporters

KUCHING: Semua lima mangsa dalam insiden bot karam ketika melakukan latihan Regata pada Jumaat lalu, ditemui lemas, hari ini.

Lima mangsa terbabit iaitu Mohammad Ikhmal Sama’ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Mohamad Khairul Bidin, 26 dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, kelima-lima mangsa ditemui sekitar Barrage.

“Dua dijumpai pada jam 6.16 pagi dan seorang dijumpai pada jam 6.40 pagi.

“Dua lagi mangsa turut dijumpai, masing-masing pada jam 7.07 pagi dan 7.09 pagi,” katanya.

Pasukan keselamatan mengangkat mayat mangsa yang ditemui di sekitar Barrage. – Foto/JBPM Sarawak

Semua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

Mereka adalah kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak.

Terdahulu, kejadian 3.40 petang Jumaat lalu, mereka bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Regata Sarawak pada 1 hingga 3 November ini.

Perahu panjang yang mereka naiki karam selepas dibadai gelombang yang terhasil oleh kapal nelayan yang datang dari arah bertentangan. – Info X